02 September, 2008

Majlis Tahlil Allahyarham S. Othman Kelantan


Pada 29 Ogos 2008 yang lepas seperti yang dirancangkan Majlis Tahlil Allahyarham SN Dr. Syed Othman Syed Omar (S. Othman Kelantan) berlangsung dengan jayanya majlis itu juga bersempena sambutan bulan Ramadhan 1429H

Majlis yang diadakan di Dewan Utama Wisma Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) telah dihadiri oleh Waris Allahyarham S. Othman Kelantan, Sasterawan Negara Dato’ Dr. A. Samad Said, Pengerusi ITNM Y. Bhg Dato Dr. Wan Hashim Wan Teh, Pengarah Urusan ITNM En. Mohd Khair Ngadiron, Ustaz Muhammad Uthman Al Muhammady, media, anak-anak dari Rumah Amal Belaian Kasih Ukay Perdana dan jemputan yang lain.

Allahyarham meninggal dunia pada 31 Julai 2008 setelah beberapa minggu dimasukkan ke Hospital kerana penyakit kencing manis, masalah jantung dan stroke.

Majlis dimulakan dengan solat asar berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Muhammad Uthman Al Muhammady. Diikuti tahlil dan doa. Kemudian ucapan oleh Pengerusi , Pengarah Urusan ITNM, Ustaz Muhammad Uthman Al Muhammady, Anaknda Allahyarham Syed Mohd Zakir Syed Othman dan bacaan puisi khas buat Allahyarham Soneta Sebuah Qalbu Elegi kepada S. Othman Kelantan. Selepas itu acara penyampaian sumbangan kepada Rumah Amal Belaian Kasih Ukay Perdana.

Akhirnya para jemputan diraikan dengan jamuan makan.

InsyaAllah dalam perancangan tahun hadapan karya Allahyarham akan diterjemahkan ke bahasa asing bersama karya Sasterawan Negara dan juga Anugerah Pemenang Penulis Sea yang lain oleh ITNM.

No comments: