Hari raya makin hampir. Ramadan menginjak ke penghujungnya. Minggu hadapan adalah minggu terakhir umat Islam berpuasa. Bahang raya sudah terasa apabila lagu-lagu raya mula berkumandang di corong-corong radio.
Namun setiap kali menjelang raya ada sahaja anak-anak yang menjadi mangsa mercun yang dijual oleh orang-orang dewasa yang berfikiran waras dan matang.
Mercun ini dijual kepada kanak-kanak yang tidak boleh berfikir adakah permainan itu merbahaya. Dan ini seolah-olah kita merelakan sahaja kanak-kanak didedahkan dengan situasi merbahaya meskipun dalam keadaan untuk menzahirkan kegembiraan datangnya Syawal.
Amaran dan bagaimana bentuk hukuman terhadap mereka yang menyeludup dan menjual bahan bakar merbahaya itu nampaknya tidak dapat membendung kegiatan itu sejak beberapa dekad.
Yang berfikiran waraspun sedar bahaya bahan itu tidak hanya membahayakan kanak-kanak malah kepada orang dewasa juga apabila bahan itu sering kali menjadi punca kebakaran terhadap kediaman awam. Saat menjelang hari mulia tetapi segelintir terpaksa berhari raya di dewan orang ramai atau di khemah sementara.
Barangkali kita terpaksa mengubah cara untuk membenteras kegiatan dan situasi ini. Benarkan sahaja penjualan mercun tetapi mensyaratkan mestilah diletakkan papan tanda “Bahan bakar untuk mencederakan anak-anak anda” atau “Bunga api untuk membutakan Si Cilik”.
Sudah tentu penjual-penjual pun akan rasa bersalah menjualnya dan ibubapa berfikir berulangkali untuk membelinya. Untuk tahun ini kita penjual-penjual mercun telah berjaya mencacatkan anggota badan seorang kanak-kanak di Kelantan. Dato' Nik Aziz ditanya pendapatnya mengenai kes itu berkata : "Benda ni berlaku tiap-tiap tahun. Kita mesti hukum seberat-beratnya org yg menjual mercun tu"...
Pembakaran mercun bukanlah budaya kita dan bukan juga tuntutan agama. Bermain mercun cuma untuk suka-suka tetapi suka-suka kadangkala berakhir dengan suka duka. Di negara jiran yang majoriti penduduknya berbangsa Cina pembakaran mercun merupakan amalan dalam perayaan Tahun Baru Cina tetapi mereka telah mengambil keputusan mengharamkan pembakarannya.
Jadi soalnya mengapa pula pembakaran mercun yang sedikitpun tidak pernah di sebut di dalam Al Quran dan kuliah-kuliah agama dan tidak pernah dicatatkan dalam Sejarah Melayu sebagai salah satu cara orang-orang melayu menyatakan kegembiraan terus dibiarkan.
Tiap kali puasa mercu terus diseludup dan jual untuk mendatangkan rezeki. Tetapi halalkah rezeki yang dicari dengan cara itu dan boleh mendatangkan mudarat kepada manusia?
No comments:
Post a Comment