Kisah ini berlaku sewaktu aku kecil. Sebulan sekali aku akan dibawa oleh abang-abang ku ke bandar untuk gunting rambut. Dari berempat akhirnya aku berdua sahaja bersama abangku berulang alik ke bandar saban bulan kerana yang lain ada hal, dan kalang kala aku berseorangan pulang kerana abangku juga ada hal.
Ketika ini lah kejadian lucu yang tak pernah padam dari ingatanku. Sepanjang perjalanan itu kami akan melalui kawasan kediaman yang kebanyakannya terdiri dari orang-orang cina. Ada di antaranya yang membela anjing. Ada yang bertutup dan ada yang lupa menutup pintu pagar mereka.
Biasanya jika berjalan bersama abang, aku tidak begitu ambil pusing pasal anjing-anjing itu. Abang-abangku sahaja yang sibuk mengawal perjalanan kami. Katanya jangan berlari, jalan sahaja walau di hadapan rumah itu ada anjing. Sebab anjing pantang lihat orang berlari. Dia akan kejar.
Hari itu aku terpaksa pulang sendirian ke rumah. Melalui kawasan yang ‘merbahaya’ itu aku anggap biasa sebelum ini rupanya hari itu menjadi luar biasa. Apabila berjalan sendiri aku menjadi lebih peka.
Perjalananku semakin menghampiri sebuah rumah yang terdapat seekor anjing yang ku kira amat besar dan pintu pagar itu tidak berkunci. Aku memujuk hati agar tenang untuk melintasi pintu pagar yang ternganga itu. Anjing itupun memerhatikan sahaja aku melalui dengan lidahnya terjelir-jelir.
Entah mengapa makin menghampiri pintu pagar aku semakin berdebar-debar. Degup jantungku makin kencang dan malang sekali aku gagal mengawal diri lalu aku mula berlari. Mak oi aku macam nak menjerit sekuat-kuat hati. Tapi aku tak boleh jerit sebab aku kena berlari. Bila aku toleh kebelakang aku lihat anjing itu memang pantas mengejar aku. Makin menghampiri betisku.
Nak menangis pun ada. Darahpun dah hilang dari muka. Aku jadi pucat lesi. Akhirnya aku berhenti kerana nafas aku dah habis. Aku pancit. Dan aku tengok anjing itu juga berhenti. Tanganku meraba pasir dan batu-batu. Tanpa aku sedari aku pulak yang mengejar anjing itu dengan perasaan geram sekali. Sehingga aku lihat anjing itu lari lintang pukang dan bersembunyi di celah-celah tiang di dalam rumah itu. Penakut rupanya anjing itu.Padan muka dia.
No comments:
Post a Comment