12 August, 2008

Di Bawah Terik Sinar Mentari - Bahagian 1

Di bawah Terik Sinar Mentari - Bahagian 1

Sabtu 2 Ogos 2008
Jam 10.00 pagi aku baru habis menguruskan segalanya untuk hari ini . Entah mengapa mengambil keputusan secara tiba-tiba untuk pergi ke Pusat Akupuntur yang terletak di Petaling Jaya.

Sampai di situ jam 11.00 pagi dan kelihatan tidak begitu ramai orang yang menunggu. Pusatan rawatan terletak dalam satu blok deretan kedai. Sekali pandang ia biasa sangat tak seperti sebuah klinik pun. Aku terpaksa meletakkan kereta di kawasan belakang yang juga sesak dengan kereta. Aku tahu kebanyakan kereta itu adalah mereka yang pergi ke pusat rawatan itu.

Setiba di kaunter aku mengeluarkan kad rawatan dan menghulurkan kepada pekerja yang semuanya berpakaian tidak formal itu. Gadis Cina itu memulangkan semula kad rawatan itu bersama kad kecil bernombor 67 dan aku terus memasukkan ke dalam saku seluar.

Semua tempat duduk penuh. Kulihat berbagai pemandangan ada di situ. Yang bertongkat, yang dipapah, dipimpin masuk ke dalam pun ada. Mataku meninjau ke arah luar mencari kerusi kosong kalau-kalau ada. Nasibku baik seorang lelaki baru sahaja bangun dan meninggalkan tempat itu.

Cuaca terik menyebabkan aku terasa bahangnya dan menyebabkan aku mula melilau mencari tempat kosong di dalam pula dan secepat itu pula aku mendapatkan tempat kosong di belakangku.
Kebiasaannya waktu menunggu boleh sampai sehingga 30 minit. Aku mengeluarkan telefon bimbit dan mula memadamkan pesanan ringkas yang sudah basi sebagai mengisi waktu menunggu itu. Sesekali aku menjeling orang yang keluar masuk ke dalam pusat itu. Tiba-tiba entah bila datangnya di sebelah ku terpacul seorang lelaki Cina berdiri dalam keadaan separuh ketar.

Aku mendongak memandang wajahnya tetapi dia tidak memandangku. Aku bangun dan mempelawa dia duduk. Dia tersenyum sambil berkata. “No, Thank You, I want to stand up..awak duduk lah.”

“Tidak, tidak awak perlu duduk.” Balas aku lagi.

Dia berkeras tidak mahu duduk dan aku mengalah kerana orang ramai sudah memandang ke arahku. Mengapa aku harus berkeras kepada pesakit yang tidak mahu duduk itu?

“I just want to stand up”
“I have to”
katanya lagi kepadaku tetapi kali ini nadanya sudah agak lembut sedikit.

“Saya harus melatih diri saya untuk terus bergerak.”
Aku mengangguk-nganggukkan kepala.
“Saya harus terus bergerak.”
“Oh ya!” kataku kerana aku tidak tahu bagaimana hendak bermula perbualan itu.
“Saya sudah habis rawatan cuma menunggu ibu saya dan kawan yang seorang lagi.”Pemuda Cina itu meneruskan kata-kata agaknya dia sudah jemu menunggu.

“Awak selalu datang ke sini?”Aku cuba meleraikan banyak soalan dalam kepalaku.

“Ya. Tiga kali seminggu- setiap selasa, khamis dan sabtu”
“Sudah berapa lama?”
“Tiga bulan. Dan keadaan saya sudah banyak berubah, dulu lagi teruk - langsung tak boleh bergerak. Baring saja.”Pemuda Cina itu mula meluahkan perasaannya.
“Awak datang dari mana?” aku bertanya.
“Puchong.
“Jauh tu.”Kata aku simpati

“Apa boleh buat saya terpaksa, kasihan dengan ibu.”dia menunjukkan ibunya yang berada di dalam.
“Dahulu saya terlantar tiga bulan di hospital tak boleh bergerak. Belanja tiga ribu sebulan. Mana larat?”
Sekarang saya datang ke sini tiga kali seminggu untuk rawatan. Dan keadaan saya sudah okey tapi belum sepenuhnya.”

Dia tunduk lagi sambil berkata “Saya ingat bila saya dewasa mahu jaga ibu..tapi sebaliknya! Ibu tak habis-habis jaga saya.” Hatiku menjadi sayu mendengar penjelasannya ketika itu aku juga ada ibu.

“Semua orang boleh nampak macam saya gembira tapi hati di dalam siapa yang tahu. Hati saya menangis di dalam. Dan semua orang yang kena macam ini mereka menangis di dalam hati.”

“Saya masih bernasib baik kerana saya boleh bercakap ada sesetengah yang kena langsung tak boleh bercakap!”
“Awak tak boleh menggerakkan sebelah kanan badan awak? Aku bertanya.
“Ya, saya kena stroke. Tapi saya kena lihat positif benda ni kalau tidak saya akan jadi lebih teruk.”Balas dia.

“Awak tahu di sini kita cuma kena 10 jarum akupuntur tetapi di hospital Tung Sheng tempat saya dapat rawatan saya kena 25 jarum! Nampak misi datang saja saya sudah mahu menjerit. Kawan saya kena 31 jarum. Aduh!” dia mula rancak bercerita.

“Kita kena cari hiburan dalam kedukaan macam itu dan itulah hiburan kami pesakit stoke!” katanya dalam gelak tanpa mempedulikan orang-orang yang berada disekeliling kami.

“Pernah misi terlupa menanggalkan satu jarum di kaki kawan saya dan dia cuba menanggalkan jarum itu tetapi kawan menghalangnya kerana dia mahu melaporkan sendiri kepada Doktor!” dia menyambung sambil tersenyum dan dia berkata lagi
“Lepas itu Misi tu kena marah…itu yang kawan saya mahu!” dia gelak.

“Saya mahu memberitahu anda sesuatu. Orang-orang Cina yang kena stroke mereka susah nak bercakap dan adalah lebih mudah untuk bertutur dalam bahasa Melayu atau Inggeris dalam keadaan macam itu. Jadi saya telah mengajar kawan saya yang baru kena stoke itu bercakap iaitu I LOVE YOU!

“Bila saja dia dapat menyebut perkataan itu dia melonjak kegembiraan dan menjerit I LOVE YOU, I LOVE YOU kepada semua yang ada. Doktor, misi yang ada semua senyum.” Pemuda itu tersengih-sengih memandang aku. Aku juga sengih kepadanya.
Dia bangga dapat melakukan itu semua. Katanya dalam bahasa Mandarin ada banyak vowel tidak seperti dalam bahasa Melayu dan Inggeris. kerana itu bertutur dalam bahasa Melayu atau Inggeris adalah lebih mudah bagi pesakit stroke.
Kisah benar ini akan bersambung di minggu hadapan.

No comments: