19 August, 2008

Malang Tidak Berbau- Pukau & Rompak



Memanglah ngeri mendengarnya. Malang tidak berbau dan ada di mana-mana. Sepagi dan separuh tengahari masaku semalam habis di balai Polis. Ingatkan sekejap rupanya lama mereka melakukan soal siasat. Masakan barang-barang yang dicuri bukan setakat duit, kad ATM, kad kredit, komputer riba dan satu beg yang penuh berisi pakaian yang baru dibeli dari Bandung malah sebuah kereta Honda City yang baru di pakai lapan bulan lesap apabila jiranku sedar dari pukauan jam 5 pagi.

Perkara-perkara seperti inilah kadang-kadang telah menghilangkan nilai-nilai dan semangat tolong menolong dalam masyarakat hari ini. Mereka sering diburu perasaan curiga apabila ada orang datang untuk bertanya, meminta pertolongan atau meminta segelas air di hadapan pintu rumah anda atau menumpang untuk ke tandas rumah anda. Semua itu adalah ruang-ruang untuk niat hitam tetamu yang tidak diundang itu.

Pernah aku terdengar cerita seorang remaja keluar dari surau di pusat membeli belah ditepuk belakangnya oleh seorang yang tidak dikenali untuk bertanyakan sesuatu tanpa di sedari di situlah bermulanya pukau, lalu dia menyerahkan dompet dan telefon bimbitnya. Ada juga dengan bersalaman mengajak minum dan dalam minuman diletakkan pil khayal dan mangsa menyerahkan segala-gala yang ada.

Berbalik pada soal jiran tadi nasib baik juga yang hilang itu adalah harta benda jika tidak bernasib baik mungkin nyawanya juga melayang memandangkan selepas sedar di pukau dan meninjau seluruh rumah terdapat sebilah pisau yang ditinggalkan di hadapan pintu biliknya yang sentiasa tertutup. Bimbang jika ada orang lain di dalam rumah itu, perompak bertindak nekad untuk membunuh sahaja jika terdesak.

No comments: