Terima Kasih kepada Pn Siti Rafiah kerana melayangkannya ke peti emel saya
Oleh AZMAN ISMAIL
AKTIVIS teater dan ahli akademik, Prof. Dr. Hatta Azad Khan menjadi individu ketiga yang mewakili genre teater meraih Anugerah Penulis Asia Tenggara (S.E.A Write Award) bagi Malaysia.
Pencapaian Dr. Hatta hadir selepas kemenangan Sasterawan Negara, Datuk Noordin Hassan (1987) dan Zakaria Ariffin (2001) sejak anugerah itu diperkenalkan pada 1979 - suatu jumlah yang kecil jika dibandingkan dengan genre-genre lain seperti puisi.
Bagaimanapun, pencapaian itu membuktikan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku Sekretariat Tetap anugerah tersebut bagi Malaysia melalui jawatankuasa yang telah dilantik, iaitu Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Penulisan Asia Tenggara bagi tahun 2008 tidak pernah meminggirkan genre drama/teater tanah air.
Sakretariat Tetap itu sebulat suara mencalonkan Dr. Hatta penerima anugerah itu untuk tahun 2008 bagi negara Malaysia dan telah mendapat pengesahan daripada Sekretariat S.E.A. Write Awards di Bangkok, Thailand pada 11 Ogos lalu.
Dengan pengesahan tersebut, Dr. Hatta menjadi penerima anugerah yang ke-30 untuk Malaysia.
Sehubungan itu, beliau akan menghadiri Minggu Anugerah Penulisan Asia Tenggara 2008 pada 25 September hingga 1 Oktober ini.
Beliau akan menerima anugerah semasa acara kemuncak, iaitu pada Malam Gala dan Majlis Penganugerahan pada 30 September tersebut akan berlangsung di Oriental Hotel's Royal Ballroom, Bangkok. Anugerah dijangka akan disampaikan oleh Puteri Maha Chakri Siridhorn.
Sebagai penerima anugerah itu, Dr. Hatta akan menerima RM7,000 serta plak dan diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan kepada Puteri Maha Chakri Siridhorn, serta membaca karya di Istana Suan Pakkad.
Sesungguhnya, anugerah tersebut mempunyai erti yang sangat besar kepada bidang sastera dan kreatif negara-negara Asia Tenggara. Apa lagi ketika sebahagian besar negara serantau terbelenggu oleh perbezaan bahasa, kebudayaan dan latar belakang kepercayaan.
Perbezaan-perbezaan tersebut telah memberi warna yang tidak serupa kepada dunia kesusasteraan kerana ia dilahirkan dalam acuan mengikut negara masing-masing tersebut.Bagaimanapun, untuk mendekatkan perbezaan tersebut, sekali gus sebagai penghormatan kepada tradisi sastera itu, anugerah berprestij Anugerah Penulisan Asia Tenggara itu telah diwujudkan pada awal tahun 1979.
Idea untuk mewujudkan anugerah tersebut muncul dalam perbincangan dalam kalangan pihak pengurusan Hotel The Oriental, Bangkok; Thai Airways, International Public Co. Ltd., dan Italthai Group of Companies.Semenjak pembukaannya, Hotel The Oriental, Bangkok, sentiasa mempunyai hubungan yang erat dengan penulis tersohor dari seluruh dunia. Sepanjang sejarahnya, penulis terkenal dunia telah menginap atau menziarahi hotel ini.
Hubungan dengan dunia sastera ini dapat dibuktikan dengan Authors' Residence yang menempatkan bilik suite yang diberikan nama pengarang tersohor seperti Joseph Conrad, Somerset Maugham, Noel Coward dan James Michener.Bilik suite di River Wing juga telah diberikan nama mengikut nama pelbagai penulis seperti Graham Greene, John Le Carre dan Barbara Cartland dan lain-lain.
Anugerah Penulisan Asia Tenggara diwujudkan untuk memberikan pengiktirafan kepada para penyair, penulis dan pengiat teater/drama ulung di rantau ASEAN, iaitu Negara Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Objektif utama mewujudkan anugerah tersebut juga ialah memupukkan kesedaran dan pemahaman meluas tentang kekayaan sastera dalam kalangan sepuluh negara serantau.Ia juga bertujuan memberikan penghargaan dan mempromosikan bakat-bakat kesusasteraan penulis kreatif ASEAN dan menghimpunkan para penulis serantau yang berbakat besar.
Dari aspek sejarahnya, semenjak tahun 1979, Jawatankuasa Penganjur dipengerusikan oleh Putera Prem Purachatra, salah seorang tokoh sastera Thailand yang terkenal.
Apabila baginda meninggal dunia pada tahun 1981, permaisurinya Puteri Ngamchit Purachatra bersetuju untuk memegang jawatan pengerusi dan pada tahun 1982, Puteri Maha Chakri Sirindhorn bersetuju untuk menjadi Pengerusi Kehormat Jawatankuasa Penganjur.
Selama lapan tahun, Puteri Vimalachatra, saudara perempuan mendiang Putera Prem Purachatra mengambil alih jawatan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur selepas Puteri Ngamchit Purachatra meninggal dunia pada tahun 1983.Puteri Vimalchatra meletakkan jawatan sebagai pengerusi pada awal tahun 1992 atas alasan kesihatan. Baginda diganti oleh Profesor Putera Subhadradis Diskul, salah seorang sarjana Thailand paling terkenal hingga tahun 1997, dan kemudian digantikan oleh M. L. Birabhongse Kasemsri, Setiausaha Sulit Utama Duli Baginda (1998-1999). M. R. Sukhumbhand Paribatra merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah Penulisan Asia Tenggara hingga sekarang.Jawatankuasa Penganjur yang ketuai Sukhumbhand dianggotai oleh PEN International Thailand - Centre, Writers' Association of Thailand, termasuk wakil daripada sembilan Kedutaan ASEAN, Bangkok Bank Public Co. Ltd., Export - Import Bank of Thailand, Sangsom Group, Thai Airways International Public Co. Ltd. dan The Rex Morgan Foundation.
Selain itu, ia turut dianggotai Heritage International Limited, Daimler Chrysler (Thailand) Limited, British Gas Thailand Pte. Limited, Chumbhot - Pantip Foundation, Unocal Thailand Ltd., C. P. Group, Rio Tinto plc, Srithai Superware Public Co. Ltd., dan The Oriental Hotel, Bangkok.
Sementara itu, Dr. Hatta yang dilahirkan pada 1952 mendapat pendidikan teater (pengarahan dan sinografi) di Amerika Syarikat dan pengajian filem di Australia. Beliau adalah professor bidang teater dan filem serta Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, Universiti Teknologi Mara (UiTM).Beliau menulis dan mengarah drama dan musikal pentas selain menulis skrip filem (cereka dan dokumentari) dan sitcom televisyen. Dr. Hatta juga adalah pencipta, penulis dan pengarah sitcom Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang bertahan selama 18 tahun di TV3.
Filem cereka pertama beliau Mat Som (dari buku komik karya Lat) dan memenangi Anugerah Lakon Layar Terbaik (Festival Filem Malaysia 1992) dan mewakili Malaysia ke Festival Filem Antarabangsa di Tokyo, Fukuoka, Hawaii, Bangalore, Taipei dan Jakarta.Wayang adalah filem cereka keduanya dari lakon layar tulisannya sendiri. Karya teater terbaru beliau adalah Muzikal K.L dan Muzikal Kampong Baru.
Sumber: Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment