Kasihan dengan pokok-pokok ini bermandi habuk
Hari mingguku yang cukup terganggu gara-gara jiran baru yang membuat ubah suai rumah. Memanglah seronok bila nak masuk rumah baru dengan ubah suai hiasan dalam dan kemasan yang menarik dan lain dari yang lain. Tetapi betapa azabnya bila kerja-kerja mengetuk, mencanai dan memotong yang mengeluarkan segala macam bunyi yang mengganggu ketenteraman jiran-jiran lain di hari minggu. Soalnya mengapa menggunakan hari minggu ketika semua orang ada di rumah. Kerja-kerja seperti itu sepatutnya dilakukan di hari kerja di mana kebanyakannya ramai penduduk keluar bekerja.
Itulah kurangnya daya imaginasi dan sikap bertimbang rasa pekerja dan yang empunya rumah. Tuan punya sepatutnya mengawal kerja-kerja ubah suai tersebut kerana rumahnya bukan rumah baru siap dibina. Atas, bawah, kiri dan kanan semuanya sudah dihuni.
Itu belum disebut dengan debu-debu simen yang memenuhi lantai dan tangga jalan di blok itu. Aku mengadu rumahku penuh berabuk kerana debu-debu halus berterbangan masuk melalui bawah pintu. Tapi jawapan pekerjanya selamba sahaja.
"Sabarlah ya kami kat sini sepuluh hari sahaja."
Apa salahnya sebelum balik dibersihkan segala habuk yang ada di laman rumah jiran agar habuknya tidak masuk ke dalam rumah. Orang-orang seperti agaknya tidak pernah membaca maksud hadis
“Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia menyakiti jirannya.”
Dan dalam surah yang bermaksud:
" Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu menyekutukanNya dengan sesuatu apa jua, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat mahupun yang jauh, rakan sejawat, orang-orang musafir yang terlantar dan juga hamba sahaya yang kamu miliki, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong, takbur dan membanggakan diri ".
(An-Nisaa':36)
Belum pun tinggal tapi jiran-jiran dah tak suka!
No comments:
Post a Comment